FAKTOR kekurangan tenaga dalam bidang kejururawatan menjadi punca utama jururawat di hospital kerajaan mahupun swasta terpaksa berhadapan dengan tugasan mencabar. “Tugas jururawat banyak dan berat. Mereka menjaga perawatan, memantau keadaan, mengurus keperluan ubatan, memberi sokongan moral kepada pesakit dan pelbagai tugasan lain.
“Bidang kerjaya ini amat kritikal kerana berkait rapat dengan nyawa seseorang. Hakikatnya, keadaan menjadi semakin mencabar apabila seorang jururawat terpaksa mengendali jumlah pesakit yang ramai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Wan Fatimah menambah, masalah kekurangan jururawat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor.
Jelasnya, antara yang perlu diberi perhatian adalah bayaran gaji minimum bagi jururawat tempatan yang jauh lebih rendah berbanding di negara-negara lain.
“Tidak dinafikan, sekarang ramai jururawat tempatan berhijrah ke luar negara seperti di negara Arab kerana bukan sahaja tertarik dengan tawaran gaji minimum lebih tinggi, malah manfaat lain.
“Tugas jururawat bukan sedikit apatah lagi terpaksa menanggung beban tugas yang banyak sehingga perlu bekerja lebih masa bagi menyelesaikan kerja-kerja mereka.
“Justeru, diharapkan kerajaan dapat mengkaji semula pemberian gaji minimum agar relevan dengan tugas jururawat kerana cara ini dapat menarik kembali minat jururawat tempatan untuk berkhidmat dalam negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Jururawat Unit Rawatan Intensif, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan PPUKM, Norrafidah Md. Sapuan berkongsi, khabar angin palsu bersifat negatif berkaitan jururawat yang tular di media sosial menjadi cabaran baharu buat mereka yang berkecimpung di dalam bidang tersebut.
Katanya lagi, setiap perkongsian yang berniat memburuk-burukkan jururawat hanya kerana rasa tidak puas hati sedikit sebanyak menjatuhkan motivasi mereka.
“Tidak dinafikan, ada waris yang gagal kawal emosi dan melemparkan kemarahan kepada jururawat. Kami boleh terima kerana kami dilatih untuk berdepan dengan emosi pesakit mahupun ahli keluarganya.
“Tetapi, tindakan menularkan perkara negatif tentang jururawat di media sosial adalah tidak adil kerana itu akan mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap kerjaya kami,” ujarnya.
Comments